Menghargai Jasa Pesawah Negara: Tanpa Mereka, Perut Kita Tidak Ada Isinya
7:10 am
Semua orang tahu, Nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia. Malaysia juga salah satu pengeluar beras yang besar. Dulu kecik-kecik Ney selalu la dengar kesusahan orang dulu ke bendang atau sawah padi, proses beras nak jadi nasi yang korang dok makan tu hah. Walaupun Ney tak makan nasi, tapi Ney tahu sangat perit jerih orang nak hasilkan beras ni. Sebab dulu arwah Tokki juga petani atau pesawah.
Baru-baru ni bila Ney diberi peluang untuk ke bumi Kedah dan bertemu sendiri dengan pesawah-pesawah dan masa tu buat Ney rasa berminat nak dengar kisah hidup mereka sebagai pesawah. Mujur ada pakcik tu ajak datang rumah lepak tepi bendang! Haha. Nak kahwin dengan orang Kedah ni kena lah feel sikit macam mana kehidupan di bendang. Eh?
Jumpa la dengan sorang pakcik ni nama Ahmad bin Mat Din, salah seorang pesawah di negeri jelapang padi, Kedah yang dah jadi pesawah sejak umur 17 tahun hasil warisan orang tua turun menurun bercerita perbezaan hidup sebagai seorang petani dulu dan sekarang. Fuh, bila duduk lepak dengar orang tua-tua dok cerita pengalaman hidup macam ni syok aih!
Beza Petani Dulu dan Sekarang
Pak Ahmad ni cerita zaman dulu, duit murah. Bagi anak belanja sekolah pun sekupang je. Nak bajak tanah sawah pakai kerbau, nak tuai padi tu manual guna tangan, membanting tulang menumbuk padi, baja pun kena keluar modal beli sendiri, benih pun beli sendiri dan musim menuai tu apak dia lama hah menunggu... setahun sekali je! Bayangkan dulu tunggu air hujan turun baru boleh buat bendang.
Belum masuk part payah nak hadap masalah lain macam serangan serangga bena perang bertelur banyak kat padi, siput gondang merah pun nak bertelur, masalah bila padi angin berlaku je padi luruh awal. Fuh pelbagai rintangan. Pakcik ni pun cerita, nak makan pun susah. Ibarat kena sistem barter untuk bagi anak bini makan. Tengah bulan pinjam beras orang lain, cukup bulan bayar balik dengan beras sendiri. Jika anak-anak ditanya apa cita-cita mereka, hampir tidak ada yang ingin jadi petani. Kenapa? Sebab dulu, kalau jadi petani ni orang dok pikir kerja kolot, kotor, segala benda la.
Perkembangan teknologi dan perubahan zaman juga menyebabkan generasi sekarang tidak mengenali alat-alat tradisional untuk membajak sawah dan menuai padi yang digunakan oleh petani pada zaman dahulu -- tenggala, sisir, cangkul, tajak serta tenggiling. Petani semua membanting tulang empat kerat sendiri tau nak hasilkan beras korang makan tu? Betapa besarnya pengorbanan pesawah zaman dulu demi menghasilkan sebutir beras untuk dimakan.
Tapi zaman la ni, tetibe semua nak kahwin dengan anak pesawah. Awatnya? Hah, ye la ekonomi pesawah semakin stabil sekarang. Semua orang anggap pesawah sekarang kaya! Masyukkkk hoi!
Kenapa Petani Hidup Lebih Senang Sekarang?
Hidup lebih sempurna, masa depan terjamin, dan bidang pertanian semakin moden. Insentif, subsidi dan bantuan dari kerajaan sedikit sebanyak membantu mereka untuk mendapat kehidupan yang lebih terjamin. Antara subsidi daripada kerajaan ialah baja dan racun, pengapuran, pembajakan dan insentif jualan padi.Kerajaan banyak menolong para petani melalui MADA.
MADA adalah merupakan satu badan berkanun Kerajaan Persekutuan dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan tanggungjawab MADA kepada Negara adalah untuk melebihkan hasil dan mensejahterakan penduduk desa. Di kawasan Muda, Kedah ni sendiri rupanya ada 56,000 orang pesawah dibawah MADA! Dan MADA menjadi antara penyumbang sebanyak 40 peratus hasil padi kepada negara. Banyak kan? Mungkin tanpa MADA, 40% rakyat Malaysian akan kekurangan bekalan makanan ruji mereka.
Kerajaan juga berusaha martabatkan pesawah-pesawah Negara Malaysia ni. Ni semua sebagai salah satu usaha supaya orang ramai sedar industri pertanian sekarang boleh dibuat duit. Zaman pertanian sekarang dah moden. Jentera membajak ada, mesin proses padi pun ada, tu belum cerita siap ada drone untuk mapping padi dan sebur racun!
Hah petang tu jugak Ney sempat juga melawat sorang lagi pesawah, Haji Harun bin Taib atau lebih dikenali sebagai Pak Tam... dia kata, nak jadi pesawah ni antara nak usaha dan rajin atau tidak je. Ramai pesawah zaman sekarang takde tanam rasa minat untuk menjadi pesawah. Semuanya sebab duit dan bila tiada minat susah untuk berjaya. Bayangkan Pak Tam dah mengusahakan bendang sejak umur 18 tahun dan sekarang dah berjaya? Ilmu juga penting katanya, pesawah sekarang dah mudah sebab ada banyak bantuan dari segi mengajar ilmu pertanian, guide sana sini.
Bila Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib mengumumkan Bantuan Khas Pesawah RM200 sebulan selama 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, ramai pesawah menarik rasa lega di hati. Matlamat bantuan ini adalah untuk mencapai keluaran lapan tan setiap hektar berbanding sebelum ini sekitar 6.19 tan setiap hektar dan meringankan beban pesawah dan pengusaha padi sementara menunggu hasil tuaian. Pak Tam kata, memang nampak macam tak banyak jumlah RM600 untuk 3 bulan tapi, dengan duit tu la boleh topup apa patut. Nak kata kaya dak aih, tapi hidup lebih senang berbanding dulu. Tak semua orang paham apa mereka lalui zaman dahulu.
Sedikit sebanyak, bila borak dengan pesawah MADA ni semua, banyak membuka mata Ney. Mereka betul-betul hero yang tak didendang. Orang kata, rezeki jadi pesawah ni berkat. Sebab tu anak-anak semua berjaya hasil usaha peluh keringat ayah mereka. Tengok anak-anak Pak Tam sampai 6 orang semua masuk universiti dan kerja bagus-bagus. Rumah pakcik ni semua pun besar-besar. Hahaha. Nasib tak tanya Pak Tam ada anak bujang lagi ke tak.
Alhamdulillah, diberi peluang begini. Bukan semua orang dapat merasai. Majulah bidang pertanian untuk negara. Besar jasa mereka, dan perlu kita hargai. Harap lebih ramai anak-anak muda berminat untuk membabitkan diri dalam bidang pertanian ni. Pahlawan adalah mereka yang rela berkorban demi bangsa dan negaranya. Dan bagi Ney, mereka ini adalaha pahlawan negara, hero kita. Kalau bukan kita yang mempedulikan nasib pesawah, lalu siapa? Tanpa mereka, perut kita tidak ada isinya. Sudahkah kamu berterima kasih pada mereka?
2 comments
Betul tu. Sebab itu bebudakzaman sekarang ni kena bagitahu mereka jerih payah nak dapatkan beras ini. Jadi jangan sesuka nak membazir nasi
ReplyDeletemak habaq, nnt nasi nangis kalau tak abes makan
Deletedrop your comment here!